Monday, September 30, 2019

Brat should control his lil' johnny

FMT:

Syed Saddiq tak perlu terusik dengan reaksi keras Syed Husin

Saya terbaca jawapan balas Khairuddin Abu Hassan dan Syed Saddiq Abdul Rahman, Menteri Belia dan Sukan, terhadap Syed Husin Ali, Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR berhubung teguran beliau terhadap Dr. Mahathir Mohamad yang dilihat masih berbolak-balik dalam isu tempoh transisi jawatan perdana menteri.
Saya memuji keberanian Syed Saddiq untuk menjawab kritikan Syed Husin walaupun bagi saya kenyataan Syed Saddiq itu hanyalah teknik kilasan yang tidak menjawab titik pertembungan yang sebenar. Tidak hairan jika Syed Saddiq begitu mahir menggunakan teknik kilasan ini memandangkan beliau memang seorang pendebat yang hebat.
Saya kira satu-satunya respons balas yang wajar Syed Husin berikan kepada Syed Saddiq dan Khairuddin ialah setiap manusia mempunyai hak kebebasan bersuara dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia. Namun apakah wajar Syed Husin menjawab serangan Syed Saddiq dan Khairuddin secara ilmiah?. Jawapannya ialah tidak perlu.
Kritikan Syed Husin berhubung sikap berbolak-balik Mahathir dalam isu transisi perdana menteri memiliki merit yang jelas. Semua orang boleh melihat bagaimana Mahathir tidak pernah memberi jawapan yang pasti mengenai proses transisi ini. Mengapa begitu sukar dan apa sebenarnya yang menghalang Mahathir daripada berbuat demikian? Apakah ada pengampu di kiri dan kanan Mahathir yang sedang bimbang mereka akan hilang segala kemewahan jika Mahathir melepaskan kuasa?
Bagi individu yang rajin membaca dan menyoroti kisah panjang perjuangan Syed Husin, pasti akan merasa lucu melihat gelagat manusia seperti Khairuddin dan Syed Saddiq. Bukanlah bermakna Syed Husin itu sakral dan tidak boleh ditegur, tetapi manusia seperti Khairuddin dan Syed Saddiq perlu berpada-pada dan lebih berhati-hati dalam menjawab kritikan Syed Husin Ali.
Untuk melabelkan kritikan Syed Husin Ali dengan terma sabotaj, pembohong, tidak sabar dan tangan-tangan ghaib, hanya memperlihatkan betapa rakusnya kamu sebagai pengampu Mahathir untuk terus mengampu.
Syed Husin Ali merupakan tokoh senior dalam perjuangan reformasi yang memang terkenal sejak dahulu dengan kelantangan beliau menyuarakan pandangan. Malah beliau juga merupakan seorang pemimpin yang tegas dalam PKR. Banyak perkara pernah dikritik beliau sama ada di peringkat dalaman parti mahupun secara terbuka. Beliau telah menulis hampir 20 buah buku yang menyentuh banyak perkara termasuk isu-isu di sekitar kepentingan dan masa depan masyarakat Melayu.
Tak perlulah Syed Saddiq begitu terusik apabila Syed Husin membangkitkan soal Mahathir sukar untuk dipercayai. Bagi seorang senior yang pernah merasai sepak terajang politik dalam beberapa era sebelum Syed Saddiq dilahirkan, Syed Husin ada hak untuk berkongsi kerisauan beliau.
Syed Saddiq perlu lebih jujur
Syed Saddiq juga perlu lebih jujur dan objektif dalam memahami kritikan Syed Husin. Janganlah ditanggapi kritikan Syed Husin itu sebagai tangan ghaib yang mahu mensabotaj kepimpinan Mahathir.
Walhal isu transisi perdana menteri ini bukanlah rahsia dalaman Pakatan Harapan. Persoalan ini jugalah yang sering diajukan kepada Mahathir dalam banyak wawancara terbuka yang beliau hadiri. Oleh itu Syed Saddiq tidak perlu merasa resah gelisah jika persoalan ini terus dibangkitkan kerana jawapan yang pasti masih gagal diberikan.
Saya bersetuju dengan Syed Saddiq berhubung rakyat hari ini dahagakan pembaharuan yang menaikkan kualiti hidup mereka dan realiti yang perlu Syed Saddiq akui ialah perkara ini masih belum terlaksana seperti yang dijanjikan. Apalah gunanya berbicara gah di pentas-pentas antarabangsa jika rakyat di negara sendiri masih mengeluh dengan beban sara hidup yang semakin tak tertanggung.
Rakyat membuat perubahan yang berani pada 9 Mei 2018 bukan kerana mahu melihat para pemimpin kerap berjalan ke luar negara, tetapi rakyat mahu pemimpin mereka benar-benar melaksanakan janji.
Kerajaan Pakatan Harapan perlu membangunkan impian rakyat agar impian tersebut boleh dirasai dan dinikmati, bukannya sekadar memainkan cerita-cerita hebat seperti bayang-bayang yang hanya boleh dilihat tetapi tidak dapat disentuh. Inilah kesilapan Barisan Nasional yang tidak boleh diulang oleh Pakatan Harapan.
Atas dasar ini, saya juga sependapat dengan Husin Ali senior agar proses transisi perdana menteri ditetapkan segera agar Anwar Ibrahim mempunyai cukup masa untuk meneruskan dan menyegerakan agenda reformasi yang benar-benar rakyat perlukan.
Syukri Razab adalah Setiausaha Angkatan Muda PKR.

1 comment:

  1. This boy is rapidly becoming a 3M Minister...Minister of Mat Motor.....(GoJerk, Food Panda etc)....how about finding Malaysia's next Lee Chong Wei or Nicol David...? He is becoming like Maszlee, instead of improving our school curriculum, looking out for the next school uniform improvement or blockbuster Tamil movie....

    ReplyDelete