
Situasi Sulit Ismail Sabri: Petanda bahawa Politik "Buku Hitam" Mungkin Sedang Berlangsung di Putrajaya bulan Ini
7 Mar 2025 • 9:00 AM MYT

TheRealNehruism
Writer. Seeker. Teacher

Kredit Imej: Utusan Sarawak / SCMP
Sudah lebih dua tahun sejak Ismail Sabri berhenti menjadi Perdana Menteri Malaysia. Dalam tempoh dua tahun ini, tidak banyak perkara yang berlaku kepadanya. Secara keseluruhannya, beliau kebarangkalian besar menjalani kehidupan yang santai dan tenteram selepas melepaskan jawatan. Satu-satunya berita yang saya ingat mengenai beliau dalam beberapa tahun kebelakangan ini adalah mengenai advokasinya untuk layanan lebih berperikemanusiaan terhadap haiwan jalanan. Selain daripada itu, Ismail Sabri kelihatan seperti tidak lagi berminat untuk menjalani kehidupan politik yang aktif selepas mencapai kemuncak kerjayanya sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-9.
Namun, semua ini berubah pada awal bulan ini apabila tiba-tiba, tanpa sebarang tanda, timbul khabar angin bahawa satu persefahaman telah dicapai dalam kalangan penentang Anwar untuk menggulingkan pemerintahannya dan menubuhkan kerajaan baharu dengan Ismail Sabri kembali sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-11.
Apa yang berlaku seterusnya berlaku dengan pantas.
Dalam tempoh beberapa minggu, Ismail Sabri ditemui tidak sedarkan diri di rumahnya dan terpaksa dikejarkan ke hospital.
Jika anda beranggapan bahawa kemasukan beliau ke hospital ada kaitan dengan masalah kesihatannya, keesokan harinya, kita dikejutkan dengan berita bahawa empat orang pegawainya telah ditangkap atas tuduhan rasuah.
Hanya sehari kemudian, pada 24 Februari, dilaporkan bahawa lebih RM100 juta telah dirampas oleh agensi anti-rasuah di rumah salah seorang pegawainya.
Semalam, Ismail Sabri dilaporkan sedang disiasat SPRM kerana disyaki terlibat dalam gejala korupsi.
Menurit agensi anti-rasuah, mereka telah menyiasat jejak rasuah yang melibatkan pegawai-pegawai Ismail Sabri selama beberapa bulan, dan ia hanyalah satu kebetulan bahawa mereka menahan pegawai Ismail Sabri sehari selepas beliau dimasukkan ke hospital, beberapa minggu selepas khabar angin mula tersebar bahawa beliau telah dipilih untuk menggantikan Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia yang seterusnya. Namun, bagi rakyat biasa, kebetulan ini ditafsirkan sebagai bukti bahawa politik "black book" masih lagi berakar umbi dalam landskap politik negara.
Terdapat satu kepercayaan di negara kita yang menyatakan bahawa semua ahli politik penting di negara ini mempunyai rahsia kotor mereka yang dicatatkan dalam sebuah "buku hitam" yang akan disembunyikan daripada pengetahuan awam, tetapi hanya selagi mereka mematuhi arahan dan tidak melawan golongan atasan.
Sebaik sahaja mereka mula mengambil Langkah sendiri, terutamanya langkah yang boleh mengancam kedudukan golongan atasan, maklumat rahsia mengenai mereka yang terkandung dalam "buku hitam" itu akan didedahkan, untuk tujuam menghancurkan reputasi mereka di mata rakyat atau menyebabkan mereka menghadapi tindakan undang-undang.
Daripada dakwaan skandal seksual hingga tuduhan rasuah dan video seks, terdapat banyak contoh bagaimana politik "buku hitam" didakwa digunakan dalam landskap politik Malaysia untuk menggagalkan sebarang percubaan untuk merampas kuasa dari golongan atas.
PMX Anwar sendiri didakwa pernah menjadi mangsa kepada politik "buku hitam" apabila beliau dilihat sebagai ancaman oleh pihak atasan.
Walaupun beliau sendiri pernah menjadi mangsa politik "buku hitam", sukar untuk dikatakan sama ada PMX Anwar tidak akan menggunakan kaedah yang sama terhadap musuh-musuh politiknya sekarang, setelah beliau berada di kedudukan nombor satu di negara ini.
Kita harus ingat bahawa mereka yang pernah dianiaya tidak semestinya menjadi lebih baik kerana pengalaman itu. Banyak kali, mereka akan menginternalisasikan pengalaman tersebut dan menggunakannya sebagai alasan untuk menindas orang lain pula. Kanak-kanak yang mengalami penderaan sering kali menjadi ibu bapa yang mendera. Penduduk Israel, yang berasal dari generasi yang dihancurkan oleh genosid, kini sendiri melakukan genosid dengan giat.
Kita juga harus ingat bahawa PMX Anwar adalah seorang yang percaya bahawa rasuah, kronisme dan nepotisme berleluasa dalam era Mahathir dari 1981 hingga 2003. Kerajaannya juga terdiri daripada mereka yang percaya bahawa kleptokrasi dan pelbagai pemesongan akhlak telah lama merosakkan pentadbiran Malaysia sehingga mereka mengambil alih pada tahun 2022.
Jika seseorang percaya bahawa rasuah, kleptokrasi, kronisme dan nepotisme telah berakar umbi selama 30-40 tahun sebelum mereka mengambil alih, maka adalah tidak mungkin mereka akan mengamalkan pemerintahan yang benar-benar bersih dan telus apabila mereka mempercayai bahawa kebanyakan, jika tidak semua, individu yang berada dalam kedudukan tinggi dalam negara ini telah membina nama mereka dalam sistem yang rosak sebelum ini.
Memandangkan ini, tidaklah keterlaluan untuk mengandaikan bahawa daripada memilih jalan yang lurus dan bersih, PMX Anwar mungkin masih menggunakan teknik daripada rejim lama untuk "membersihkan dahulu kekotoran" dalam sistem yang rosak, terpesong dan tercemar.
Walau apapun, insiden seperti skandal rasuah yang muncul di Sabah sebelum pilihan raya negeri Sabah berlangsung atau pegawai Ismail Sabri yang ditangkap kerana rasuah sebaik sahaja beliau dikhabarkan sebagai pengganti Anwar, hanya akan menguatkan spekulasi bahawa kerajaan perpaduan sekarang tidak teragak-agak untuk menggunakan taktik lama dalam mengekalkan kuasa.
Oleh itu, bagaimana kita sebagai rakyat harus menilai kemungkinan bahawa politik "buku hitam" masih diamalkan oleh kerajaan yang kononnya berpaksikan reformasi, walhal kita telah memilih mereka untuk menghapuskan amalan sebegini?
Pada pandangan saya, terdapat dua cara untuk melihatnya.
Pertama, kita boleh melihatnya sebagai tanda bahawa politik di Malaysia telah menjadi begitu rosak sehingga ianya tidak dapat diselamatkan lagi. Politik kita telah begitu terikat dengan amalan mungkar seperti kleptokrasi, nepotisme, rasuah, kronisme dan pelbagai lagi pemesongan akhlak yann lain, sehingga mereka yang ingin mereformasikannya pun akan tercemar oleh amalan yang ingin mereka hapuskan.
Jika ini keadaannya, selain daripada rombakan menyeluruh, mungkin tiada cara lain untuk membersihkan landskap politik kita dan menghentikan kemerosotan berterusan dalam negara kita.
Cara kedua untuk melihatnya adalah kita mungkin harus menerima hakikat bahawa kekhilafan masam lalu kita akan keadaan akan menjadi lebih kucar-kacir buat sementara waktu sebelum ia menjadi lebih baik di masa hadapan.
Kita tidak boleh percaya bahawa Malaysia telah dirosakkan oleh amalan seperti rasuah, nepotisme, kleptokrasi dan kronisme selama beberapa dekad, dan dalam masa yang sama mengharapkan individu yang telah mencapai kedudukan tinggi melalui sistem yang rosak ini akan secara tiba-tiba berubah dan memimpin perubahan terhadap budaya, sistem, dan amalan yang selama ini memberi mereka pangkat, harta dan kedudukan.
Kemungkinan besar terdapat ramai lagi yang “terpesong akhlak” yang masih berada di peringkat tertinggi dalam semua sektor negara hari ini, dan mereka mungkin perlu dilucutkan pangkat, darjat dan kedudukan mereka atau direhabilitasi terlebih dahulu melalui kaedah seperti "buku hitam" sebelum reformasi sebenar dapat dilaksanakan sepenuhnya.
Demi kita dan generasi masa depan, marilah kita berharap bahawa pandangan kedua ini adalah yang lebih tepat dalam menerangkan keadaan kita hari ini.
No comments:
Post a Comment