Saturday, March 13, 2021

JAIS jangan buang masa 122 pegawai agama cari Nur Sajat - ikut nasihat Mohd Hanipa Maidin

Malaysia Dateline:



Kes Nur Sajat: Kesan menghukum, tidak lihat dari sudut dakwah
Isu Nur Sajad dan ke manakah hilangnya ruh toleransi kita?

1. Apabila saya membaca di dalam media mengenai hasrat seorang hamba Allah bernama Nur Sajat Kamaruzzaman yang dilaporkan untuk tidak mahu kekal sebagai penganut Islam, ia benar-benar menyedihkan dan amat meruntun hati saya.

2. Jujurnya, pada waktu ini, hati saya berbaur dengan pelbagai perasaan – marah, geram kecewa, sedih, malu dan macam macam lagi.

3. Saya benar-benar rasa marah, geram, kecewa dan sedih serta malu dengan tindakan dan cara sebahagian umat Islam, yang bagi saya, hanya bermentaliti “holier than thou” dan tidak langsung menggambarkan, walau sekecil zarrah, elemen kerahmatan Islam.

Dari sudut lain pula, mereka ini cuba menonjolkan seolah-olah mereka sahajalah yang ingin menjaga kesucian dan kehormatan Islam kononnya. Cara mereka dilihat seolah olah mereka adalah pengawal tunggal atau solo kehidupan beragama kita semua!

4. Ya, mungkin sahaja Nur Sajat juga ada melakukan kesalahan dan kesilapan dari aspek-aspek tertentu, tetapi, sejak dari awal, saya melihat cara atau metode sebahagian umat Islam mendekati isu beliau ini lebih menonjolkan sikap yang amat suka dan mudah sekali menghukum daripada mendidik insan seperti Nur Sajat.

Tidak pelik jika insan seperti Nur Sajad dan insan di dalam kategori beliau mungkin merasakan atau berpersepsi mereka SEOLAH-OLAH tidak ada sebarang tempat dalam Islam.

Adakah salah mereka atau salah kita semua jika diandaikan mereka berpersepsi sebegitu ?


5. Apabila beliau melakukan ibadah umrah pada suatu waktu dahulu dengan berpakaian ihram seperti seorang wanita agak teruk juga beliau dikecam. Sehingga dilaporkan beliau mengeluh “adakah insan seperti saya tidak boleh melakukan ibadat umrah?”

Saya sebenarnya tidak begitu faham kenapa beliau harus dikecam begitu teruk hanya kerana berpakaian sebegitu? Kenapa sebahagian umat Islam tidak mahu melihat dari sudut positif hasrat mulia beliau ingin bertaqarrub kepada Allah melalui ibadat umrah?

Jika beliau tersilap sekalipun, bukankah itu peranan mereka yang berilmu untuk mendidik dan bukannya mengherdik? Membawa beliau kembali semula ke jalan kebenaran dan bukan membiarkan beliau terkapai kapai keseorangan di”serang” dari pelbagai penjuru.

6. Kenapakah sebahagian umat Islam hanya sibuk mendekati isu beliau menunaikan umrah dengan bertelekung seperti seorang wanita itu hanya dari sudut “fiqhul ahkam” -فقه الاحكام semata mata dan tidak dari sudut “fiqhul da’wah-فقه الدعوة ?

7. Kita-umat Islam sering berasa bangga dengan kalam Rasulullah saw yang menyatakan bahawa Baginda saw itu diutuskan dengan membawa slogan “a tolerant faith بالحنفية السمحة dan seringkali juga lidah para agamawan begitu fasih menyebut di dalam bahasa arab الإسلام دين التسامح ” Islam itu agama yang toleran!


Tetapi….

Saya tertanya tanya dimanakah kita lontarkan semangat toleransi Islam itu di saat kita berhadapan atau mendepani atau mendekati isu atau persoalan Nur Sajat ini?

8. Maaf, jika saya katakan apabila saya melihat cara dan sikap sebahagian umat Islam mendepani isu Sajat ini, ia amat memualkan. Bagi saya, ia memperlihatkan seolah-olah Islam ini satu agama yang amat keras, suka menghukum dan seperti tiada sebarang ruang ihsan untuk insan dan hamba Allah seperti insan bernama Nur Sajat.

9. Sejarah Islam dari zaman Rasulullah saw membuktikan islam adalah agama yang bersifat toleran. Tolerance or tasamuh is the sine qua non of Islam!

Lihatlah bagaimana Rasullullah saw menunjukkan secara amali toleransi Islam par excellence di dalam peristiwa Hudaibiyyah. Misalnya, bila diminta oleh delegasi perunding kafir Quraisyh untuk tidak diguna lafaz bismillahi al-rahmani al -rahimi… باسم الله الرحمن الرحيم dan diganti hanya dengan bismikAllahumma. باسمك اللهم..Nabi saw akur..

Tidaklah ini manifestasi toleransi? Adakah Nabi saw, nau’dzubillah, telah dikira menggadaikan prinsip?

10. Mereka yang menyangka toleransi itu adalah mengaku kalah dan menggadaikan prinsip adalah mereka yang hakikatnya mempunyai tasawwur yang salah dan cetek terhadap makna sebenar dan “nature” toleransi itu sendiri. .

Toleransi tidak ada kena mengena dengan peninggalan prinsip perjuangan!

11. Jika Islam itu adalah agama yang tidak pedulikan toleransi, mana mungkin kita melihat dalam sejarah Islam, hatta perbezaan pendapat di dalam perbahasan isu teologi atau ilmu kalam boleh subur dan berkembang.

Bolehkah fahaman muktazilah, murjia’ah, khawarij dll misalnya subur berkembang jika ketiadaan toleransi di sana?

Ramai yang mungkin tahu pengarang kitab tafsir yang terkenal iaitu Al-Zamakhsyari adalah bermazhab mu’tazilah, namun semua mengiktiraf bahawa tafsir beliau adalah tafsir beliau digolongkan dalam senarai para ibu tafsir -امهات التفا سير


12. Hujjatul Islam, imam al-Ghazali رحمه الله menulis kitab yang dikenali sebagai “faysal al-tafriqah baina al-Islamial-zal-zadanqati”-فيصل التفرقة بين الاسلام و الزندقة ( lihat lampiran) yang diterjemah oleh seorang sarjana Islam di barat yang hebat iaitu Dr Sherman Jackson dengan judul ” on the boundaries of theological tolerance in Islam” (lihat lampiran)

Dalam satu tulisan ilmiah beliau, Dr Sherman menjawab tuduhan kononnya beliau seolah – olah menyokong golongan al-zindiq apabila menterjemah buku tersebut.

Artikel ilmiah bertajuk ” Not truth but tolerance : a much belated response to Atiff Khalil (lihat lampiran) menjawab dengan tuntas antara isu kebenaran dan isu toleransi.

13. Mungkin relavan jika saya kongsikan kisah yang dibawa oleh ulama sufi besar iaitu al-imam Zainuddin Abil Qasim Al-Khusyairi dalam kitabnya “Al-Risalatul Al-Khusyairiyyah”- الرسالة القشيرية (lihat lampiran) tentang kisah yang beliau kata diceritakan kepadanya oleh ramai para ulama’ mengenai kisah Nabi Ibrahim عليه السلام dengan seorang tetamu beliau yang mendatangi beliau dalam keadaan lapar dan meminta ihsan Nabi Ibrahim agar memberinya makan kerana beliau dalam kelaparan yang amat sangat

Memandangkan tetamu beliau tersebut adalah bukan muslim, Nabi Ibrahim a.s. menyatakan kepada beliau bahawa Baginda a.s. bersedia memberi makan sekiranya orang itu masuk Islam atau bertauhid kepada Allah.

Dikatakan Nabi Ibrahim a.s ditegur oleh Allah swt kerana Allah swt mengatakan bahawa Allah tidak jemu jemu memberi orang itu makan selama 50 tahun tanpa mengira kekafiran orang tersebut dan tanpa meletakkan sebarang syarat..akan tetapi, kata Allah, hanya baru sekali orang itu meminta bantuan dari Nabi Ibrahim a.s. Baginda a. s. telah pun mengenakan syarat tertentu.

Nabi Ibrahim a.s. dikatakan telah mencari semula orang tersebut untuk diajak makan bersama-sama.

(lihat m/s 199-200 kitab tersebut).

14. Untuk Nur Sajad, jika anda ditakdirkan membaca tulisan ini, saya merayu sangat batalkan hasrat anda untuk keluar dari agama Islam.. Kita semua tidak sempurna.

Usah hiraukan manusia. Bermunajat lah pada Alllah Yang Maha Pengampun dan Maha Penyayang.


والله اعلم

Ahli Parlimen Sepang
3 Mac 2021.

2 comments:

  1. all 122 daddy dom rush to be first to take u by yr throat n guide u through the dark.

    ReplyDelete
  2. We seek her here, We seek her there,
    Those JAIS seek her everywhere.
    Is she a man or is she a woman ?
    The damned elusive Sajat

    Hahaha... the Scarlet Pimpernel...1982 movie /1902 book by the same name.

    ReplyDelete