Tuesday, July 07, 2026

Kisah ampun Jho low, kisah ampun Najib





Kisah ampun Jho low, kisah ampun Najib


3 hours ago
Mohsin Abdullah


'Jihad' Umno untuk membebaskan Najib Razak akan menjauhkan lagi parti itu daripada rakyat





‘Fourth of July’ sudah berlalu. Ertinya Amerika Syarikat sudah sambut ulang tahun yang ke-250. Dan menurut Malaysiakini sehingga pukul 2 pagi 5 Julai di Wasginton DC hanya 11 orang telah diampun oleh Presiden Donald Trump sempena hari bersejarah AS itu.

Mereka yang diberi pengampunan pada Jumaat sebelum hari kemerdekaan AS ialah dua individu yang sabit kesalahan menipu dan sembilan orang yang
didakwa melanggar Akta Udara Bersih Persekutuan dengan melumpuhkan atau mengubah suai kawalan pelepasan trak.


Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low, ahli perniagaan dalam buruan tidak ada dalam senarai 11 orang yang diberi pengampunan Trump.

Sebelum ini, The Atlantic iaitu majalah AS yang juga ‘a multi platform publisher’ di Washington memetik sumber melaporkan nama Jho Low mungkin ada dalam senarai orang yang akan diberi pengampunan.


Namun, tidak dipastikan sama ada benar nama Jho low ada dalam senarai itu ‘in the first place’.

Jho Low dituduh mendalangi penyelewengan sekurang-kurangnya USD4.5 bilion atau kira kira RM17.7 billion daripada 1MDB bersama dua bekas pegawai bank pelaburan Golden Sachs.

Pada 2024, Jho Low mencapai penyelesaian dengan Jabatan Kehakiman AS untuk pemulangan USD100 juta yang dituntut dalam saman pelucutan hak sivil.

Semasa tersiarnya berita ura-ura Jho Low mendapat pengampunan Trump, media tempatan meminta komen daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Dan kata Anwar, walau apa pun keputusan AS kelak, Malaysia tetap dengan pendirian bersandarkan proses perundangan terhadap Jho Low.

‘Now that the US has not pardoned Jho Low’ persoalan lama yang masih belum terjawab terpaksa ditanya lagi. Di manakah dia berada sekarang? Dan apa yang dilakukan dewasa ini oleh kerajaan untuk membawa dia pulang ke tanah air bagi menghadapi pertuduhan?

Selain Jho low skandal 1MDB seperti kita tahu telah membawa kepada sabitan dan pemenjaraan Najib Razak.

Lalu membawa kepada kenyataan anak beliau Nazifuddin tempoh hari yang menyatakan kemenangan besar Barisan Nasional di PRN Johor 11 Julai ini adalah ‘isyarat rakyat’ mahu Najib diampuni.

Sebagai anak tentulah beliau mahu ayahnya diberi pengampunan. Boleh difahami Nazifuddin punya kepentingan peribadi dalam isu ini. Tetapi kenyataannya pada hemat saya menimbulkan pelbagai persoalan yang saya kira meletakkan BN khususnya Umno dalam keadaan tidak selesa, sekadar menggunakan istilah lembut.

Saya tidak dapat elak bertanya adakah Nazifuddin dalam keghairahan mahu ayahnya diampunkan telah berfikir panjang sebelum kata apa yang beliau
kata?

Tidakkah beliau tahu beliau telah cuba mengheret rakyat dalam soal peribadinya? Lebih memburukkan keadaan untuk partinya ialah apa yang dikata boleh membawa makna BN terutama Umno akan atau boleh mempengaruhi proses pengampunan diraja jika ia berkuasa penuh?

Bagi saya ini juga membayangkan kemungkinan BN akan salah gunakan kuasa. Malah boleh dituduh melanggar peraturan dan prosedur pengampunan. Adakah ini persepsi bagus? Pasti tidak.

Apatah lagi Anwar selaku pengerusi Pakatan Harapan mendakwa gabungannya diheret menyertai PRN Johor kerana ‘ada pihak’ mahu kembali berkuasa supaya Najib dapat dibebaskan.

Mungkin sedar akan kesan negatif yang timbul dengan kenyataan Nazifuddin itu Hishammuddin Hussein yang bagi saya boleh dianggap bapa saudaranya
cuba menjauhkan diri daripada apa yang telah dikatakan oleh anak Najib.

The Star 5 Julai lalu melaporkan Hishammuddin menyifatkan mengaitkan prestasi BN di PRN Johor dengan pengampunan diraja untuk Najib ialah sesuatu yang tidak tidak logik.

Dan apabila ditanya mengenai kata-kata diluahkan Nazifuddin jawapan beliau ialah ‘Nazifuddin is still very young, suggesting the comments were due to inexperience’.

Nazifuddin ialah ketua Umno Langkawi. Beliau dilahirkan pada 1983. Pun begitu bagi Hishammuddin seorang berjawatan ketua dalam Umno yang berusia 43 tahun ‘is still very young’ dan tidak berpengalaman.

The Star turut melaporkan: “he (yakni Hishammuddin) noted that politics should not be driven by personal ambition or short term interests.” Bagaimanapun tidak dijelaskan sama ada beliau bercakap secara am atau mengenai seseorang.

Hishammuddin ialah sepupu Najib. Hubungan persaudaraan ini wujud kerana ibu Najib iaitu Rahah Mohamed Noah dan ibu Hishammuddin iaitu Suhailah Mohamed Noah adalah adik-beradik.

Bukanlah rahsia besar ada pihak dalam Umno yang mahu Najib dibebaskan. Ada pihak dalam Umno pula ‘terpaksa’ tunjuk mereka juga bersependapat kerana bimbang dituduh takut hilang kuasa jika Najib dibebaskan. Mereka takut dituduh mahu pegang kuasa kerana Najib ‘in jail is to their best interest’.

Apa pun Umno mengambil isu Najib sebagai satu ‘perjuangan’ dan menuntut apa yang mereka dakwa keadilan untuk beliau ‘are not helping matters for the party’.

Meskipun saya bercakap tidak berbekalkan dapatan kaji selidik saya ulangi apa yang kerap pernah dikata dahulu iaitu saya percaya ‘jihad’ Umno untuk membebaskan Najib akan menjauhkan lagi parti itu daripada ramai rakyat negara ini.

Kerana majoriti rakyat yakin Najib sudah diberi cukup ruang keadilan dan yakin beliau mesti terus menjalani hukuman di penjara. Apa lagi tempoh penjara dan denda sudah pun dikurangkan.


No comments:

Post a Comment