Wednesday, February 09, 2022

Tindakan Farhash lawan MB rosak keharmonian parti, kata Zainol Abidin Mohamed (PKR Selangor) - [terpaksa olih kemungkinan musuh dalam selimut???]



Tindakan Farhash lawan MB rosak keharmonian parti, kata pemimpin PKR Selangor


Ketua PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak perlu terus fokus di Perak bagi menghadapi PRU15, menurut Zainol Abidin Mohamed.


PETALING JAYA: Tindakan Ketua PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang ingin menentang Menteri Besar Selangor Amirudin Shari di Bahagian Gombak pada pemilihan parti April depan dilihat hanya akan merosakkan keharmonian parti.

Timbalan Pengarah Komunikasi PKR Selangor, Zainol Abidin Mohamed berkata penggunaan istilah ‘menyuburkan demokrasi’ yang dimaksudkan Farhash perlu digunakan di tempat dan dalam keadaan yang betul.

Menurutnya, Farhash perlu terus fokus di Perak bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) kerana negeri itu berpotensi untuk Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri.

“Meninggalkan Perak dan bertukar ke Selangor boleh diibaratkan sebagai seorang bapa yang meninggalkan anak-anaknya dalam keadaan anak-anak memerlukan perhatian dan bimbingan si bapa,” katanya kepada FMT.

Pada 7 Feb lalu, Farhash yang juga bekas Setiausaha Politik Anwar Ibrahim mengesahkan kepada FMT bahawa beliau akan menentang Amirudin di Bahagian Gombak dalam pemilihan yang dijadualkan pada 22-29 April ini.

Farhash menyifatkan cabarannya itu sebagai meraikan proses demokrasi.

Mengulas lanjut, Zainol yang juga Bendahari PKR Gombak menyeru supaya Farhash menarik diri daripada pemilihan di Gombak.

Jelasnya, jika Farhash ikhlas mahu memperkukuh parti, maka beliau perlu membantu Amirudin dalam mendapat sokongan rakyat sekaligus mampu mengangkat Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“Gunakan pengaruh dan kedudukan yang saudara Farhash miliki dengan membantu Menteri Besar sama ada di peringkat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) mahukan pentadbiran Kerajaan Negeri. Ini baru betul disebut reformis sejati iaitu meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kehendak serta nafsu peribadi,” katanya.


1 comment:

  1. PKR must not become another UMBO where incumbent leaders remain forever more, unchallenged, until they retire.

    Anybody can stand for division and any other positions, let the members vote...that should be the rule.

    ReplyDelete