Wednesday, August 12, 2026

Apa lagi Melayu Negeri Sembilan mahu?

 


Apa lagi Melayu Negeri Sembilan mahu?

Apa lagi Melayu Negeri Sembilan mahu?

Dengan Yamtuan Besar Tuanku Muhriz yang berkeadilan, apakah lagi yang kalian mahu?

faisal tehrani

PRN Negeri Sembilan 2026 telah pun berakhir. Akan tetapi, malangnya, Adat Perpatih di negeri tersebut masih ditunggang dan ‘dilacurkan’ oleh segelintir mereka yang mengaku pengamal adat.

Hal ini dapat dinilai memandangkan terdapatnya satu perintah mandamus dikemukakan pada 17 Julai 2026 di Mahkamah Tinggi untuk memaksa Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu, Ismail Lasim, menyingkirkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Keinginan untuk menurunkan Tuanku Muhriz dari takhta telah mengheret seluruh Negeri Sembilan, malah seluruh negara, ke dalam kancah politik berbahaya.

Padahal, di dalam Adat Perpatih terdapat tuntutan dalam terombo dan perbilangan agar berlaku taat kepada pemimpin, atau raja yang adil.

Di dalam masyarakat yang mengamalkan Adat Perpatih, seorang pemimpin dihormati kerana terdapat anjuran bahawa mereka itu ‘ditinggikan seranting, didahulukan selangkah’.

Pemimpin, baik Undang mahupun raja, dalam hal ini Yamtuan Besar, diletakkan di tempatnya, atau takhtanya, dan itu semua berlaku dengan prosedur yang mana dalam adat dinamakan ‘alur dan patut’.

Terombo Adat Perpatih menyatakan begini:

‘Yang disebut pemimpin banyak ragamnya,
Ada kecil ada besarnya
Ada rendah ada tingginya
Ada pula letak tempatnya
Ada pula susun aturnya
Ada pula alur patutnya’.

Usaha menurunkan Yamtuan Besar Tuanku Muhriz, menerusi pemasyhuran raja palsu, penarikan sokongan dalam kerajaan negeri sehingga mengakibatkan pembubaran DUN dan berlakunya PRN Negeri Sembilan 1 Ogos lalu, dan kini usaha memaksa menteri besar baharu menandatangani sesuatu yang enggan dilakukannya menerusi mandamus, adalah satu tindak-tanduk derhaka.

Di dalam Adat Perpatih ada penekanan mengenai hal ini di dalam teromba:

‘Adat rumah adat tuanya
Adat kampung adat penghulunya
Adat negeri ada rajanya
Tua rumah membawa hikmah
Tua penghulu menghapus malu
Tua raja tegak daulatnya’.

Di dalam Adat Perpatih, kita diminta mengelak dan menghindar sejenis pemimpin, pembesar adat atau penghulu yang diberi gelar sebagai Tuk Pincang Panjang Lidah.

Menurut Mohd Rosli Saludin dalam ‘Sejarah Adat Perpatih Seri Menanti’ (2022), Tuk Pincang Panjang Lidah ini adalah pemimpin yang ‘suka berbohong, memfitnah atau bercakap tentang sesuatu yang tidak benar.’

Satu hal yang perlu masyarakat Melayu pengamal Adat Perpatih fahami adalah tindak-tanduk mereka diperhatikan oleh bangsa bukan Melayu di Negeri Sembilan.

Rosli, dalam buku yang sama, pernah mengatakan bahawa identiti Negeri Sembilan tidak seharusnya mengabaikan kemajmukan masyarakatnya. Ujar beliau:

“…dalam membicarakan konsep dan pengertian Adat Perpatih di Negeri Sembilan yang boleh memperkuatkan bangsa pada hari ini, kita akan membicarakan tentang kepentingan budaya asal yang diubah untuk dijadikan budaya bersama rakyat Negeri Sembilan bagi mewujudkan identiti dan peribadi rakyat majmuk yang bersifat seragam. Masyarakat Negeri Sembilan ialah suatu masyarakat yang bersifat majmuk dan pelbagai. Ia juga disebut sebagai masyarakat Jawi iaitu masyarakat yang bercampur dari pelbagai latar belakang. Masyarakat Negeri Sembilan itu masyarakat Jawi, maka setiap bangsa atau ras dalam sistem sosial Negeri Sembilan pastinya berbeza antara satu sama lain, khasnya dari segi latar belakang. Tidak terkecuali berbeza adalah daripada segi adat dan budaya. Oleh sebab itu, keputusan yang telah dicapai tentang identiti Negeri Sembilan perlu diperincikan supaya menjadi lebih tepat. Contohnya: Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan pada 19 November 1997 telah mewujudkan identiti Negeri Sembilan merangkumi rakyat jelata, jabatan kerajaan, agensi kerajaan, syarikat swasta, hotel, persatuan, peniaga dan lain-lain.”

Adalah sangat penting Negeri Sembilan kekal makmur dan terus terpelihara di bawah pemerintah adat yang berwibawa, bukan ditunggang-terbalikkan oleh Tuk Pincang Panjang Lidah kaki TikTok.

Tambahan pula, Negeri Sembilan bukan semata-mata Adat Perpatih.

Di kawasan Lukut, membawa ke pinggir pantai, Negeri Sembilan juga dihuni penghuni dengan Adat Melayu Linggi. Mereka memerhatikan pergaduhan sesetengah pengamal Adat Perpatih dengan rasa meluat dan jengkel.

Mengapakah ada Melayu pengamal Adat Perpatih merasakan mereka boleh melanggar adat ini?

Ini kerana hierarki pemerintahan dalam Adat Perpatih datang dari bawah. Ia sendiri adalah satu sistem demokrasi yang mulus.

Menurut Rosli dalam ‘Sejarah Adat Perpatih Seri Menanti’, sistem pemilihan pemimpin dalam Adat Perpatih ini cukup molek dan tidak boleh diganggu gugat oleh penderhaka:

“Di Negeri Sembilan telah mengamalkan sistem pemerintahan berdasarkan Adat Perpatih, iaitu kedaulatan berada di tangan rakyat. Mengikut hierarki pemerintahan Adat Perpatih, pelantikan pemimpin dibuat daripada peringkat paling bawah, iaitu Anak Buah, diikuti oleh Buapak, Lembaga dan Undang yang kemudiannya melantik Yang Dipertuan Besar. Ini menunjukkan sistem pemilihan pemimpin di Negeri Sembilan mempunyai unsur demokrasi. Sistem pemerintahannya telah melahirkan peraturan hidup seperti kepentingan bersama, semangat bergotong-royong, permuafakatan dan sikap saling menghormati antara satu sama lain. Sistem ini lebih mementingkan permuafakatan dan semangat kerjasama antara suku semasa memilih pemimpin. Secara rasminya terdapat 11 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, iaitu bermula dengan Raja Melewar pada tahun 1773 hingga 1795, diikuti oleh Yamtuan Hitam pada tahun 1795 hingga 1808, Yamtuan Lenggang pada tahun 1808 hingga 1824, Yamtuan Radin pada tahun 1830 hingga 1861 dan Yamtuan Imam pada tahun 1861 hingga 1869. Namun, pada tahun 1869 hingga 1872 Tengku Puan Intan telah dilantik menjadi Pemangku Raja. Kemudiannya, diikuti oleh Yamtuan Antah pada tahun 1872 hingga 1888, Tuanku Muhamad pada tahun 1888 hingga 1933, diikuti Tuanku Abdul Rahman pada 1933 hingga 1960, Tuanku Munawir pada tahun 1960 hingga 1967 dan Tuanku Ja’afar pada tahun 1967 hingga 2008. Seterusnya, Tuanku Muhriz telah dilantik sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu, bermula pada tahun 2008 sehingga kini bagi menggantikan almarhum Tuanku Ja’afar yang mangkat.”

Usaha melakukan pelengseran Yamtuan Besar secara ‘non-adat’ atau tidak demokratik ini siapa yang empunya? Mandamus, pemaksaan dari atas kini sedang diusahakan.

Siapakah dalang atau bekap di sebalik semua ini? Tuk Pincang Panjang Lidah ini beroleh biaya daripada siapa? Gerakan ini memerlukan pendanaan besar, apakah ‘end game’ mereka?

Krisis adat dan kepimpinan yang sedang berlaku di Negeri Sembilan ini membuka jalan, satu hikmah, untuk membersihkan masyarakat daripada Tuk Pincang Panjang Lidah.

Krisis di Sungei Ujong dan Rembau telah diputuskan dengan Penghulu atau Undang yang baharu dan rasmi.

Insya-Allah, hal yang sama akan menyusul di Jelebu dan Johol, malah segala yang tidak patut di Tampin juga boleh dibuka kembali.

Ini kerana di dalam Adat Perpatih terdapat satu perbilangan ‘puar condong ke perut’, iaitu memastikan pemilihan pimpinan tidak dipengaruhi oleh mereka yang berkepentingan dan beragenda.

Arwah Rosli selaku salah seorang pakar adat pernah menyatakan dalam buku beliau setiap telingkah dan kelahi hendaklah dibereskan secara tertib menurut adat.

‘Institusi Yamtuan di Negeri Sembilan telah bertambah kukuh apabila wujudnya Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan ini boleh dijadikan panduan penting.

Amalan adat setiap Luak tetap dihormati melalui Undang-Undang Tubuh ini dan semuanya dinyatakan secara terang dan jelas sekali.

Pergeseran dalam lantikan kepimpinan Adat Perpatih seharusnya dielakkan mulai sekarang. Badan yang dicadangkan tadi haruslah bertindak menyediakan setiap panduan Adat Perpatih untuk dijadikan sebagai rujukan penting.

Jika berlaku apa-apa masalah, panduan yang disediakan itu dapat dijadikan sebagai bahan penting dan boleh dibahaskan bersama pakar yang terpilih. Pakar ini pula jangan seperti puar condong ke perut yang mempunyai kepentingan sendiri.’

Adakah perintah mandamus ini sesuatu yang beradat, beradab dan tertib? Siapakah Tuk Pincang Panjang Lidah dalam hal mandamus di Negeri Sembilan ini? Siapakah kaki derhaka tidak sudah-sudah? Mengapa terdapat Melayu Negeri Sembilan pengamal Adat Perpatih bersekongkol dengan mereka?

Tidakkah mereka malu kini seisi negara telah tahu yang Melayu Negeri Sembilan mudah tertipu? Mengapakah kalian betah hidup lima tahun lagi di bawah Tuk Pincang Panjang Lidah? Dengan Yamtuan Besar Tuanku Muhriz yang berkeadilan, apakah lagi yang kalian mahu?

2 comments:

  1. Asalkan
    No DAP
    No PKR
    Everything else, they trust UMNO-PN-PAS.

    ReplyDelete
  2. The NS Adat issue had been weaponised by UMNOPAS to bludgeon PH - effective - as majority of Malays will just accept as fact when told DAP is disrespectful of Islam/Malays.

    Now the Adat agitators are dead in the water, as UMNO has had their Mentri Besar sworn in by the bang DiPertuan Besar. It's defacto acceptance as UMNO can't suddenly turn around and say the Yang DiPertuan Besar status is questionable - THAT would make the UMNO MB status questionable.

    The Adat agitators , Rais Yatim in the lead, now have no choice but to bury their campaign.

    ReplyDelete