Thursday, July 23, 2026

Siapa lebih Islami, MCA atau DAP?





Siapa lebih Islami, MCA atau DAP?


10 hours ago
Faisal Tehrani


Ayuh dibandingkan sikap dua parti ini, MCA dan DAP dalam tiga insiden melibatkan agama Islam, yakni orang Melayu





Sejak PRN Johor lalu, dan membawa ke PRN Negeri Sembilan, salah satu propaganda politik dan naratif bahaya yang dikemukakan oleh kem Perikatan Nasional, malah Barisan Nasional adalah memburukkan DAP. Apa sahaja keadaan di dalam negara ini, akan dicari jalan supaya DAP dapat dinista-cemuh, dan difitnah-hodoh. Padahal cela-cela itu belum tentu benar, atau sah. Khabar angin kononnya DAP itu dan ini (dek kerana terlalu banyak, susah untuk disebut satu persatu di sini) misalnya disebarkan tanpa rasa bersalah.

Siapa sahaja yang cuba meminta masyarakat, khususnya orang Melayu untuk berfikir waras akan dihenyak dengan hujah-hujah kebencian. Percayalah tulisan ini juga akan diserang hempuk kelak. Nampaknya, kempen memburukkan DAP ini begitu berjaya, dan malangnya ia juga menjadi getah melekat di badan tubuh Perdana Menteri Anwar Ibrahim malah seluruh Pakatan Harapan mendapat bahana.


Oleh itu misalnya kita mendapati PAS sebagai contoh boleh sahaja bekerja dengan parti yang didominasi orang Cina seperti Gerakan, dan kini MCA. Meskipun hubungan itu belum tahap cinta-cintun, dan masih pegang-cuit iaitu geletek-geletek geli, masyarakat Melayu diminta memejam mata. Segala meriam dan peluru ditabur hanya terhadap DAP. Strategi ini sangat berkesan. Ia mengakibatkan DAP kelelahan menahan perisai. Ia juga membolehkan genderang penyatuan Melayu antara Umno-PAS dan Wawasan didendangkan, walaupun sebelum ini gagal.

Pun, kita tetap perlu berfikir waras dan munasabah demi berlaku adil. Di dalam Islam, keadilan adalah paksi dan pasak paling penting. Usaha DAP dan lasykar siber Pakatan Harapan untuk menjelaskan atau mempertahankan DAP nampaknya sehingga ke hari ini agak sia-sia. Meskipun sejarah Pakatan Rakyat, iaitu sejarah PAS membentuk kerajaan dengan DAP dan PKR diketengahkan seperti berlaku di Selangor, Perak, dan Pulau Pinang dalam tahun-tahun 1990-an; masyarakat Melayu hari ini nampaknya tidak pun peduli. Sikap ambil mudah ini turut diadoptasi oleh pengundi muda, Gen Z. Rata-rata Melayu memang lemah sejarah.


PAS hatta BN juga tahu, memalu genderang perang terhadap DAP dan mencipta macam-macam fitnah asalkan diulang-ulang, biar genap 40 kali, akhirnya akan diterima juga. Inilah strategi PAS dan sekarang BN, yang anehnya adalah sebahagian dari kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim. Maka watak-watak dalam Barisan Nasional yang rajin bekerja terpaksa tenggelam atau larut dalam politik fitnah ini.

Untuk memahami propaganda ciptaan PAS ini, yang sekarang digunakan oleh semua parti; kita hanya perlu menarik nafas panjang dan merenung sikap DAP dalam beberapa isu panas melibatkan agama Islam, dan membandingkan sikap MCA dalam isu yang sama. Jika kita memahami ini, kita akan menemui jalan pendek, bahawa segala cerita dan naratif mengenai DAP ini hanyalah untuk tujuan beroleh kuasa, dan orang Melayu terus terkena getah dap-dap-dap-dap ini.

Ayuh dibandingkan sikap dua parti ini, MCA dan DAP dalam tiga insiden melibatkan agama Islam, yakni orang Melayu.

Pertama, kita lihat dalam isu pengenalan khat Jawi di dalam silibus sekolah. Ia dicadangkan pada tahun 2019 di mana Jemaah Menteri (kerajaan Pakatan Harapan) memutuskan pengenalan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kepada murid Tahun 4 Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) lantas mendapat bantahan meluas, khusus oleh Pemuda MCA. Bantahan ini dikumandangkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Pemuda MCA ke-55. Setelah isu tersebut menghangat, dolak-dalih dan main-politik diperdengarkan sehinggalah cadangan itu mati andar.


Bagaimana sikap DAP? Tanpa menafikan ada segelintir yang khuatir dengan Jawi, DAP yang menjadi sebahagian kerajaan tatkala itu berusaha mempertahankannya dan menegaskan ia bukan agenda Islamisasi seperti yang didendangkan oleh sebuah parti lain.

Ahli Parlimen DAP dari Kluang, Wong Shu Qi, misalnya berhempas pulas menjelaskan hal ini. Ahli Parlimen Iskandar Puteri dari DAP ketika itu, Lim Kit Siang, bersuara bahawa “Orang Cina, Melayu dan India takut satu sama lain dan hidup dalam ketakutan. Kita mesti mempunyai keyakinan untuk membina Malaysia yang hebat bersama-sama. Kita berada dalam keadaan di mana orang Melayu takut orang Cina dan Cina takut Melayu. Dulu, DAP dituduh cuba menghancurkan orang Melayu dan sekarang DAP dituduh mengkhianati orang Cina.”

Kedua, pada 2023, apabila Kementerian Pendidikan tekad melancarkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah. MCA sekali lagi menunjuk belang, dan menerusi Biro Perhubungan Etnik dan Hal Ehwal Agama MCA, parti ini menggesa kerajaan menangguhkan terlebih dahulu agar ia boleh dibincangkan semula di peringkat Kabinet. Ketika itu, PAS sendiri bingung dengan perangai MCA ini. Bukan sahaja MCA, Gerakan kawan sebantal PAS turut mempermasalahkan saranan atau rancangan ini.

Bahkan, Ketua Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP), Ahmad Yahaya, terpaksa bersuara dan menyatakan pembelajaran dan penghayatan hadis itu bukan suatu kesalahan yang perlu dibimbangkan. Padahal usaha ini dilakukan untuk melenturkan ektremisme dalam kalangan umat Islam.


Bagaimana sikap DAP dalam isu Hadis 40 ini pula? Timbalan Menteri Pendidikan Lim Yui Ying yang juga pemimpin DAP nampaknya mempertahankan modul penghayatan agama Islam tersebut. Dalam satu lawatan kerja ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Cheng Siu 1 & 2 di Batu Pahat, Johor pada 2023 itu, pemimpin DAP ini menyatakan kehairanan mengapa hal ini dikelirukan untuk masyarakat terbanyak dan menegaskan yang pelaksanaan itu untuk murid-murid dan guru yang beragama Islam sahaja.

Dalam tahun 2025, kerajaan Negeri Sembilan pimpinan Menteri Besar Aminuddin Harun menguatkuasakan larangan minum minuman keras di tempat awam termasuk kawasan pantai awam Port Dickson yang popular sebagai tempat pelancongan. Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri berkata, larangan itu untuk menghormati sensitiviti masyarakat dan mana-mana individu yang melakukan kesalahan tersebut, berdepan kompaun serta-merta dengan denda hingga RM2,000. Pun baru-baru ini tular rakaman perbincangan secara langsung melibatkan Timbalan Setiausaha Agung Wanita MCA Pusat, Ivone Low, yang juga ketua Beliawanis MCA bersama rakan-rakan partinya yang mempersoalkan larangan berkenaan akan menjejaskan kehadiran pelancong asing. Naib Presiden MCA Dr Wee Jeck Seng juga menyanggah tindakan ini kerana kononnya menjejaskan semangat keberagaman dan nyawa aktiviti pelancongan.

Dalam hal ini, DAP pula misalnya tidak membuat apa-apa kenyataan melulu. DAP sebahagian dari kerajaan di Negeri Sembilan yang kini terpaksa berdepan dengan PRN awal ekoran mainan isu adat oleh pihak berkepentingan. Ini bermakna DAP adalah bahagian dari pihak yang melakukan polisi baik ini.

Sebenarnya dalam banyak keadaan, aktivis dan ahli politik DAP banyak memesrai masyarakat Melayu di kawasan mereka. Ini terpancar pada aktiviti ahli politik DAP seperti Steven Sim, Hannah Yeoh atau Yeo Bee Yin. Akan tetapi semua ini ditenggelamkan siarannya dan canang anti-DAP diteruskan 40 kali dan 40 kali lagi demi membenamkan DAP, dan dalam masa sama menguatkan MCA.

Malang sekali DAP perlu berdepan fitnah, dan propaganda politik begini. Malah hubungan kaum boleh terjejas sekiranya keadaan ini berterusan. Ia juga akan menggoncang ekonomi negara yang semakin membaik oleh kepimpinan Anwar Ibrahim. Tetapi apa boleh buat, DAP sudah dihujahkan getah yang melekat dan merimaskan. Ramai sahaja Melayu termasuk perangkap dan umpan untuk percaya.


No comments:

Post a Comment