Tuesday, March 22, 2022

Nasib Melayu DAP



Nasib Melayu DAP



Orang Melayu yang benci DAP (ramai tu) secepat kilat menyerang parti itu (dan juga orang Melayu yang menganggotai DAP) berikutan keputusan pemilihan jawatankuasa eksekutif pusat atau CEC yang berlangsung Ahad lalu. CEC badan tertinggi parti. Di situlah kuasanya berada.

Yang membuat mereka menyerang ialah pengundian menyaksikan hanya seorang calon Melayu dipilih untuk duduk dalam CEC yang dianggotai 30 ahli. Daripada 93 yang bertanding, 10 calon Melayu. Calon Melayu yang tewas termasuk nama besar seperti Aziz Bari, Sheikh Umar Bagharib Ali, Tengku Zulpuri Shah, Zairil Khir Johari, dan peguam terkenal, Syahredzan Johan.

Tengku Zulpuri dan Syahredzan bagaimanapun dilantik untuk menduduki CEC.

Lalu timbul tuduhan kemenangan hanya seorang calon Melayu ialah “sekadar buat syarat” dan “‘window dressing’ untuk memberi DAP wajah Malaysia”. Tidak kurang Melayu anti-DAP yang terus merumuskan orang Melayu tidak ada tempat dalam DAP yang kata mereka merupakan “parti Cina”.

Melabel DAP parti Cina tidak betul. DAP berbilang kaum. Itu sebab orang Melayu boleh bertanding pemilihan parti. Maknanya mereka diterima terlebih dahulu sebagai ahli. Begitu juga orang India, Sikh, Iban, Kadazan, dan lain komuniti. Cuma DAP dianggotai majoriti orang Cina. “A multi racial but Chinese majority party”. Itu kenyataan.

Berbalik kepada pemilihan CEC di mana Young Syefura Othman satu-satunya calon Melayu yang terpilih. Adakah pengundian berdasarkan kaum? Cina pilih Cina?

Melihat keputusan rasmi pemilihan, Gobind Singh Deo memenangi jumlah undi paling banyak untuk menduduki tempat teratas. Turut dipilih, M Kulasegaran dan Kasthuri Patto. Tak perlulah saya kata mereka bukan Cina.

Namun diakui majoriti yang menang atau dalam lain perkataan majoriti yang duduk dalam CEC terdiri daripada masyarakat Cina. Tetapi bukanlah memeranjatkan kerana DAP ahlinya majoriti Cina seperti dikatakan tadi.

Maka mengapa calon Melayu kalah? Sorang pemerhati DAP memberitahu kemungkinan besar mereka “tersalah tim”. Apa pun, katanya, DAP tidak boleh dinafikan mereka juga seperti parti politik lain ada “tim, ada pasukan, ada regu”.

Tiba masa pemilihan timbul juga “cai” (bukan Umno sahaja ada). Dalam DAP juga ada “panglima perang” (macam Umno).

“Aziz Bari dilihat bersama tim Nga Kor Ming dan Ngeh Koo Ham dari Perak. Bukan rahsia tim Nga dan Ngeh bertelagah dengan pasukan Kulasegaran dan Thomas Su,” kata pemerhati DAP.

Kulasegaran bersama Su dipilih ke dalam CEC. Hasrat Ngeh untuk menduduki CEC seperti Aziz tidak kesampaian. Bagaimana pun “bos” mereka, Nga menang.

Yang ingin saya nyatakan ialah agak sukar untuk mengenal pasti trend pengundian berpandukan keputusan itu. Satu lagi contoh. Ronnie Liu yang diketahui umum tidak sehaluan dengan Lim Guan Eng dipilih ke CEC.

Lim yang berundur daripada jawatan Setiausaha Agung susulan had tiga penggal yang ditetapkan perlembagaan DAP seperti dijangka terpilih ke CEC, tetapi “hanya” menduduki tangga kelapan. Pada pemilihan 2017 Lim berada di tangga ketiga.

Adakah popularitinya sudah mula susut? Kata pemerhati DAP “mungkin”. Kata seorang lagi pemerhati, “susah nak kata”. Apa pun Tony Pua, orang kuat Lim, tidak terpilih kali ini. Sesuatu yang memeranjatkan. Beliau sendiri agak terkejut.

Begitu juga Yeo Bee Yin yang pernah bersama Lim duduk dalam Jemaah Menteri Dr Mahathir Mohamad semasa Pakatan Harapan memerintah.

Amat menarik pemilihan barisan CEC ini yang penggalnya berlangsung sehingga 2025. Bersama Setiausaha Agung baharu, Loke Siew Fook, mereka akan mencorak perjalanan DAP menempuh cabaran mendatang khususnya PRU15.

Berbalik kepada tuduhan Melayu anti-DAP bahawa “orang Melayu tidak ada tempat dalam DAP”. Namun ada juga dakwaan orang Melayu yang menyertai DAP diberi “keistimewaan” oleh pucuk pimpinan untuk memikat hati Melayu. Mereka dikatakan naik tangga politik lebih cepat berbanding orang lain (yakni bangsa lain termasuk ahli Cina sendiri).

Lim Guan Eng dalam temuramah sehari sebelum pemilihan CEC dipetik berkata: “Di satu pihak ada yang kata mereka naik lebih cepat tapi sebaliknya ada kata hanya ada seorang atau dua pemimpin Melayu – jadi mesti cari keseimbangan. Pada akhirnya kita perlu biarkan ahli membuat keputusan. Mereka punyai kebijaksanaan untuk memilih apa yang terbaik untuk parti, bukan kepimpinan yang memilih.”

Penyertaan orang Melayu dalam DAP sudah lama terjadi. Ramai yang menempah nama. Tokoh lama yang menjadi ADUN dan Ahli Parlimen termasuk Ibrahim Singgeh dan Ahmad Nor. Sekarang lebih ramai pemimpin muda Melayu muncul dalam DAP.

Sejak dahulu Melayu yang masuk DAP dituduh oleh orang Melayu sendiri sebagai “alat” dan “kuda tunggangan” DAP, malah pengkhianat bangsa. Bagi saya semua tuduhan itu tidak adil.

Ahmad Nor umpamanya pada zamannya boleh mendapat layanan istimewa jika menganggotai Umno atau PAS kerana beliau pernah memimpin CUEPACS sekali gus disokong ramai kakitangan awam. Sekadar satu contoh.

Itu dahulu. Sekarang populasi negara bertambah. Bilangan rakyat berbangsa Melayu terus meningkat manakala bilangan bangsa bukan Melayu terutamanya Cina semakin berkurangan. Ini hakikat yang DAP tahu. Hakikat juga ialah DAP memerlukan sokongan Melayu dewasa ini dan pada masa akan datang khususnya.

Bilangan orang Melayu menjadi ahli DAP sudah bertambah. Mungkin jumlah tidak besar tetapi melebihi masa lalu dan meningkat tahun demi tahun. Ini realiti.

Pada PRU14, calon DAP, Aziz Bari menang di Tebing Tinggi, Perak. Ini kawasan majoriti Melayu. Pada PRN Johor tempoh hari calon DAP, Marina Ibrahim, menang di Skudai. Ini kawasan majoriti Cina. Ini juga realiti.

Terpulanglah untuk membuat andaian dan interpretasi masing-masing.

2 comments:

  1. clean, transparent, fair, no trouble, everyone stands a chance and not extravagant party elections versus warlords inspired moneyed election, unnecessary extravagance, platform to attack, criticise others and make policy speeches

    ReplyDelete
  2. Ini evangelical Christian party tadak class. Dia orang ingat Guanee itu suci konon. Nanti Mahkamah dakwa dia habis malu semua ahli party. Apa yang cina betul2 mahu?

    ReplyDelete