Monday, July 21, 2025

Anwar turun siapa naik?


FMT:

Anwar turun siapa naik?



Bagaimana Anwar harus turun? Jika gabungan parti pimpinannya dan beliau kalah pilihan raya Anwar wajib turun. Ertinya 'terturun' dengan sendiri. Tapi PRU masih jauh





Sama ada Anwar Ibrahim patut turun daripada jawatan perdana menteri atau tidak terpulang pendapat masing-masing. Saya tidak berhasrat cuba mempengaruhi anda dalam membuat keputusan.

Lalu, saya ulangi tajuk penulisan ini – (jika) Anwar turun siapa naik? Sebelum itu, saya ajukan persoalan ini – bagaimana Anwar harus turun? Jika gabungan parti pimpinannya dan beliau sendiri pun kalah pilihan raya Anwar wajib turun. Ertinya ‘terturun’ dengan sendirinya. Tetapi PRU masih jauh. PRU16 mesti diadakan selewat lewatnya 17 Feb 2028.


“Tak selalunya perdana menteri diturunkan ketika pilihan raya,” kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad semasa berucap pada apa yang dipanggil penganjurnya Perikatan Nasional (baca PAS) ‘himpunan mandat negarawan’ di Stadium Suka Menanti Alor Setar malam Khamis lalu.

Sebagai contoh, Mahathir mengimbau peletakan jawatan perdana menteri United Kingdom Boris Johnson dan perdana menteri Bangladesh Sheikh Hasina apabila rakyat mereka marah.


“Bila rakyat tak suka perdana menteri kenalah letak jawatan, perlu sensitif terhadap perasaan rakyat,” katanya sambil menyifatkan kerajaan Madani ‘telah gagal’ dan itu yang menimbulkan kemarahan rakyat.

Diakui kerajaan dan PMX ada melakukan ‘pelbagai kesilapan dan benda-benda pelik’ seperti dakwaan melengah pelantikan ketua hakim negara yang buat rakyat marah. Tetapi adakah kemarahan itu cukup marah sehingga mereka mahu perdana menteri turun?

Kata Mahathir: “Saya sendiri pernah letak jawatan ketika ada yang tak setuju dengan saya, bukan orang ramai tetapi parti.” Maaf ini saya ‘confuse’ sikit. Begini. Seingat saya siaran langsung di televisyen yang saya tonton menunjukkan beliau menyatakan hasrat untuk letak jawatan semasa berucap pada Perhimpunan Agung Umno 2002.

Pengumuman Mahathir memeranjatkan Umno. Seluruh Dewan Merdeka tergamam. Allahyarham Abdullah Ahmad Badawi waktu itu timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno bersuara dengan kuat ‘tarik balik, tarik balik’ yang bermaksud beliau mahu Mahathir menarik balik hasrat letak jawatan.


Beberapa pemimpin lain termasuk Rafidah Aziz dan Hishammuddin Hussein dengan pantas mendapatkan Mahathir di rostrum tempat berucap dan memujuk beliau. Rafidah bagai tidak percaya apa yang disuarakan Mahathir lalu bertanya ‘why? why?’. Oleh itu, pada hemat saya bukan Umno yang mahu Mahathir berundur. Tak apalah itu kisah lama.


Sebenarnya, Mahathir bagai ‘gentleman’ ada sekali lagi letak jawatan sebagai perdana menteri pada Februari 2020 apabila Bersatu yakni parti yang beliau tubuhkan, menarik sokongan daripadanya dalam apa yang dikenali sebagai ‘Langkah Sheraton’. Namun, ada juga pihak yang menuduh beliau antara perancang langkah itu tetapi ‘sesuatu’ berlaku pada detik- detik akhir yang menyaksikan beliau sendiri ‘tertikam’. Itu tuduhan tanpa bukti kukuh. Oleh itu, tidak perlu bercakap panjang mengenainya.

Yang diperkatakan sekarang ialah desakan Mahathir dan rakan-rakan daripada PAS serta Bersatu supaya Anwar turun. Bererti Mahathir mahu Anwar letak jawatan seperti beliau lakukan pada 2020 yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan pimpinannya jatuh.

Itu yang Mahathir mahu – Anwar turun kerajaan Madani tumbang. “Saya bukan nak jadi PM lagi sekadar penasihat jika PN kembali berkuasa,” katanya.


Diulangi, Mahathir mahu Anwar letak jawatan – Iyalah takkan beliau menyaran rakyat buat apa yang rakyat Bangladesh buat ketika menggulingkan Sheikh Hasina.

Tetapi, bagaimana kalau Anwar tidak mahu lepaskan jawatan? Saya kira beliau tidak akan ‘resign’. Jika saya tanya ‘orang PMX’ pasti mereka akan kata ‘why should he?’. Saya tak tanya sebab tahu akan jawapan mereka kelak.

Semasa isu pelantikan ketua hakim sedang memanas tempoh hari, PN menggesa Anwar turun bercuti, berehat dan seorang perdana menteri interim dilantik untuk menjalankan tugas.

Antara yang buat komen waktu itu mengenai gesaan berkenaan ialah Azlan Zainal daripada Ilham Centre menerusi Facebook. Bertanya beliau kalau Anwar turun siapa yang perlu ganti? “Calon PM dari PN pun masih menjadi teka-teki. Antara dua parti dalam PN pun sedang berantakan, tiada lagi sepakat,” kata Azlan. (‘PN sedang berantakan’ kita cerita hari lain insya-Allah).

Beliau mengakhiri catatannya dengan berkata: “Anwar masih selamat kerana keserasian pembangkang kini terganggu, tiada tersusun dan tiada kuat seperti dulu. Sebagaimana kerajaan tidak punya naratif, demikianlah juga pembangkang tidak hujah lawan yang kukuh.”

Itu kesimpulan beliau berhubung desakan PN supaya Anwar pergi cuti dan diganti perdana menteri interim. Adakah itu juga kesimpulan terbaik berkait desakan PN agar Anwar turun diganti PM baharu? Kata saya iya. Sedikit-sebanyak.



No comments:

Post a Comment