Sunday, October 20, 2024

RUU Mufti: Bekas Ketua Hakim Negara tegur Mufti Perlis ‘berhujah secara ilmiah, bukan serang peribadi’






Tun Abdul Hamid Mohamad berkata Datuk Mohd Asri Zainul Abidin yang mengaku mengetahuinya dengan mendalam patut mengemukakan hujah-hujahnya dari perspektif itu. - Gambar fail Bernama, 20 Oktober, 2024


RUU Mufti: Bekas Ketua Hakim Negara tegur Mufti Perlis ‘berhujah secara ilmiah, bukan serang peribadi’


Dialog yang dicadangkan oleh Mufti Perlis itu semestinya tidak akan menghasilkan keputusan yang terbaik dalam perkara ini, kata Tun Abdul Hamid



Irwan Shafrizan Ismail
Dikemaskini 3 jam lalu
20 Oktober, 2024
2:08 PM MYT


KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad menyifatkan kritikan Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin berkait Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan 2024, tersasar dan keluar daripada konteks.

Beliau berkata, syarat yang disebut bagi tafsiran Ahli Sunnah Waljamaah hanya terpakai bagi pelantikan Mufti dan Timbalan Mufti.

“Ia bukanlah syarat keislaman seseorang yang tinggal di Wilayah Persekutuan. Maka, soal 97% penduduk Wilayah Persekutuan tidak mampu memahaminya tidak timbul langsung. Takkanlah mereka semua hendak menjadi Mufti atau Timbalan Mufti?.

“Peruntukan itu bukan mengatakan seseorang yang tinggal di Wilayah Persekutuan hendaklah memenuhi syarat-syarat itu baru dia diterima sebagai seorang Islam.

“Bagaimana kelayakan menjadi Mufti dan Timbalan Mufti akan menyebabkan timbulnya masalah kafir mengkafir seperti di antara penyokong PAS terhadap penyokong Umno dahulu? Mengapa syarat kelayakan Mufti dan Timbalan Mufti perlu dimasukkan ke dalam kad pengenalan penduduk Wilayah Persekutuan?, soalnya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Asri atau lebih dikenali sebagai Dr Maza yang mengaku mengetahuinya dengan mendalam patut mengemukakan hujah-hujahnya dari perspektif itu.

“Malangnya, beliau tidak berbuat demikian. Sebaliknya, beliau memilih untuk memperlekehkan pengetahuan Menteri Agama (Datuk Mohd Na’im Mokhtar ) hingga mempersoal kefahaman menteri terbabit.

“Itu bukan cara berhujah ilmiah. Hujah ilmiah hendaklah tertumpu kepada alasan-alasan yang menguatkan atau melemahkan sesuatu pendapat mengenai isu yang dibincangkan, bukan dengan menyerang peribadi orang berkenaan dan membuat tuduhan liar terhadapnya.

“Adakah setiap kali seorang Menteri hendak membentangkan satu rang undang-undang, beliau perlu membuktikan kepada pakar-pakar dalam bidang berkenaan bahawa beliau lebih faham mengenainya daripada orang lain?.

“Katakanlah apa yang disebut dalam tafsiran itu patut dijadikan syarat pelantikan Mufti dan Timbalan Mufti, dari segi gubalan, patutkah ia disebut dalam undang-undang?

“Dalam menggubal undang-undang, kita perlu waspada supaya tidak berkata terlalu banyak, nanti kita akan terjerat dengan perkataan kita sendiri,” katanya.



Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan, kebanyakan umat Islam tidak memahami ajaran Ashairah dan Maturidiyyah yang ingin dijadikan sebagai identiti Ahli Sunnah wal Jamaah – Gambar fail Bernama, 20 Oktober, 2024


Abdul Hamid berkata, kebiasaan kita tahu aliran pemikiran seseorang yang sudah cukup kanan untuk menjadi calon Mufti dan Timbalan Mufti, malah dari awal mereka yang tidak dikehendaki boleh diketepikan.

“Bagaimana Dr Maza (Asri ) dipilih menjadi Mufti Perlis? Tidak ada undang-undang yang menyatakan syaratnya. Tetapi, kita semua tahu pelantikannya selaras dengan apa yang dikehendaki sebagai Mufti Perlis. Demikian jugalah sebaliknya di negeri-negeri lain,” katanya.

Beliau berkata, Mufti Perlis juga tidak sepatutnya mencabar Menteri Agama berdailog secara terbuka.

“Ia jelas menunjukkan beliau hendak memperbodohkan Menteri Agama di khalayak ramai, bukan untuk mengemukakan pendapat dan hujah beiau untuk dipertimbangkan oleh kerajaan.

“Dialog ini tiada bezanya dengan perbahasan bertujuan mencari siapa menang, bukan untuk berbincang dengan fikiran terbuka, mendengar pandangan dan hujah-hujah sebelah lagi, menimbang dengan saksama dan membuat keputusan yang adil tanpa mengira menang-kalah.

“Yang penting adalah mencari keputusan yang adil dan terbaik. Dialog yang dicadangkan oleh Mufti Perlis itu semestinya tidak akan menghasilkan keputusan yang terbaik dalam perkara ini.

“Ia tidak akan mengubah apa-apa. Kedua pihak akan mempertahankan pendirian masing-masing kerana takut kalah,” katanya.

Beliau menegaskan, RUU Mufti itu bukanlah sesuatu yang baru dan radikal, kebanyakan peruntukannya telah menjadi amalan sekian lama tanpa menimbulkan apa-apa bantahan.

“Ia dikumpul dan diletakkan dalam satu akta bersama-sama dengan amalan sekian lama untuk diperundangkan supaya lebih jelas dan mudah dirujuk.

“Cuma ada satu perkara yang dibantah. Melihat dari segi gubalan, ia tidak perlu disebut kerana, selama ini, tanpa disebut pun itulah yang dilakulkan.

“Tetapi, manalah tahu mungkin suatu hari, kita memerlukan seorang Mufti yang lebih terbuka fikirannya sesuai dengan perkembangan syariah yang diperlukan, terutama sekali dalam muamalat, khususnya perbankan dan kewangan Islam dan takaful.

“Saya fikir, memadailah sekadar disebut ‘Ahli Sunah Waljamaah tanpa memberi tafsirannya.

“Dengan sedikit pindaan itu, proses memperundangkannya bolehlah diteruskan tanpa merujuknya kepada Majlis Raja-Raja,” katanya.

Sebelum ini Mufti Perlis membidas Mohd Na’im yang disifatkan kurang memahami namun mahu melaksanakan RUU Mufti.

Asri menegaskan, kebanyakan umat Islam tidak memahami ajaran Ashairah dan Maturidiyyah yang ingin dijadikan sebagai identiti Ahli Sunnah wal Jamaah. – 20 Oktober, 2024


No comments:

Post a Comment