Sunday, September 27, 2026

MB perlu hadap Tuanku Muhriz, Undang Yang Empat, bincang penyelesaian secara baik: Zahid





Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata apa yang penting ialah rakyat perlu diberikan keutamaan dan tidak mahu keadaan menjadi semakin keruh. - Gambar fail, 27 September, 2026


MB perlu hadap Tuanku Muhriz, Undang Yang Empat, bincang penyelesaian secara baik: Zahid


Zahid berkata penyelesaian kemelut itu perlu dibuat di peringkat negeri dengan mengambil kira Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, adat dan peraturan yang sedia ada


Dikemaskini 59 saat lalu
27 September, 2026
3:11 PM MYT



KUALA LUMPUR – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim perlu menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Undang Yang Empat serta pimpinan hierarki adat negeri bagi membincangkan jalan penyelesaian secara baik berhubung kemelut semasa di negeri itu.

Menurut Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, penyelesaian kemelut itu perlu dibuat di peringkat negeri dengan mengambil kira Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, adat dan peraturan sedia ada.

Apa yang penting, kata beliau, rakyat perlu diberikan keutamaan dan tidak mahu keadaan menjadi semakin keruh.

“Saya memberikan mandat kepada Menteri Besar Negeri Sembilan untuk mencari penyelesaian terbaik dengan menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, selain menghadap Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin, Datuk Shahbandar dan hierarki adat lain di Negeri Sembilan bagi menyelesaikan masalah ini secara baik.

“Yang penting, rakyat mesti diberikan keutamaan. Masalah mereka perlu ditangani dan rakyat mesti disatukan.

“Apa yang sedang dan sudah berlaku, kita perlu mencari jalan penyelesaian yang baik di peringkat negeri dan tentunya kita tidak mahu keadaan menjadi semakin keruh sehingga rakyat menjadi mangsa kepada situasi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti) kali ke-18 di sini yang turut dihadiri Presiden Makkal Sakti Datuk Seri R.S Thanenthiran.

Mengulas lanjut, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu memberitahu, mesyuarat khas bersama-sama semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN Negeri Sembilan akan diadakan malam ini bagi mencari penyelesaian berhubung kemelut semasa di negeri itu.

Mesyuarat berkenaan, katanya yang akan diadakan di Menara Dato’ Onn, akan turut melibatkan Adun PAS dan Parti Wawasan Negara bagi mengkoordinasi serta mengenal pasti opsyen terbaik mengikut undang-undang tubuh negeri dan adat.

“Mesyuarat itu untuk saya mengkoordinasi dengan tidak berhajat untuk campur tangan, tetapi untuk mencari jalan yang terbaik bagi penyelesaian terhadap kemelut yang sedang dihadapi di Negeri Sembilan,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas cadangan pengisytiharan darurat politik, Zahid berkata langkah itu tidak perlu memandangkan situasi keselamatan dan ketenteraman awam di negeri tersebut kekal terkawal.

“Saya tidak fikir harus menuju ke arah itu (pengisytiharan darurat politik) sebab tidak ada sebarang kekecohan dari segi keamanan di Negeri Sembilan dan tidak perlu pun perkara itu untuk difikirkan…tentu ada opsyen yang lebih baik,” katanya. – 27 September, 2026

No comments:

Post a Comment