Sunday, January 28, 2024

Muhyiddin enggan berundur sebagai Presiden Bersatu kerana takut hilang pengaruh: Penganalisis






Penganalisis politik melihat, sokongan terbuka yang ditunjukkan oleh enam Ahli Parlimen Bersatu terhadap kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi isyarat jelas kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua, kanan) untuk melepaskan jawatannya. - Muharram Kasim/Scoop, 28 Januari, 2024


Muhyiddin enggan berundur sebagai Presiden Bersatu kerana takut hilang pengaruh: Penganalisis


Penganalisis berpendapat, sokongan terbuka enam Ahli Parlimen Bersatu terhadap kepimpinan Anwar Ibrahim memberi isyarat jelas kepada Muhyiddin untuk melepaskan jawatannya


28 Januari, 2024


KUALA LUMPUR — Tan Sri Muhyiddin Yassin enggan berundur daripada jawatan Presiden parti Bersatu kemungkinan kerana merasakan tiada calon lain yang layak untuk menggantikan tempatnya meskipun parti berkenaan semakin hilang arah tuju.

Pandangan tersebut disuarakan oleh penganalisis politik, Profesor Dr Azmi Hassan yang menyifatkan, jika Muhyiddin beranggapan dapat kembali memegang jawatan sebagai Perdana Menteri sekiranya Perikatan Nasional (PN) menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, ia hanyalah omongan kosong.

Azmi yang merupakan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) berkata, perkara itu tidak mungkin terjadi kerana kekuatan PN sebenarnya lebih banyak terletak pada parti PAS berbanding Bersatu.

“Sokongan terbuka yang diisytihar enam Ahli Parlimen Bersatu terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim cukup memberikan isyarat jelas kepada Muhyiddin untuk melepaskan jawatannya sebagai presiden parti tersebut.

“Kalau dah enam orang, lepas ini dengarnya lagi 10 Ahli Parlimen, itu isyarat jelas bahawa Muhyiddin sepatutnya berundur secepat mungkin.

“Kalau perkara itu (ingin sekali lagi jadi Perdana Menteri) ada dalam fikiran Muhyiddin, saya merasakan strategi itu tidak akan menjadi kerana bagi saya kuatnya PN itu adalah kerana PAS, bukan Bersatu,” katanya kepada Scoop.


Profesor Dr Azmi Hassan percaya, kekuatan Perikatan Nasional terletak pada PAS berbanding Bersatu, dan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mungkin kembali menjadi Perdana Menteri sekali pun mereka memenangi PRU akan datang. – Gambar Bernama, 28 Januari, 2024


Beliau mengulas mengenai dakwaan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal bahawa 10 lagi Ahli Parlimen pembangkang bersedia untuk menyatakan sokongan secara terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Syed Hussin juga meminta Muhyiddin menyerahkan kuasa kepada pemimpin lain terutama Datuk Seri Hamzah Zainuddin, yang merupakan Setiausaha Agung Bersatu ketika ini.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, Muhyiddin wajar berundur segera disebabkan terkait dengan kes mahkamah selain berhadapan masalah kesihatan yang tidak mengizinkannya untuk terus mengemudi parti berkenaan.

“Mungkin pada pandangan beliau, tiada orang yang boleh menggantikannya, tetapi orang luar Bersatu dapat melihat Hamzah atau Datuk Seri Mohamed Azmin Ali boleh menggantikannya.

“Sebab itu semasa Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2022, Muhyiddin kata dia tidak akan bertanding dan akan lepaskan jawatan. Beliau hanya nak uji sama ada masih ada sokongan atau tidak.

“Muhyiddin sekarang pun menghadapi kes mahkamah dan kesihatan beliau juga tidak mengizinkan, jadi kalau melihat kepada faktor-faktor itu sepatutnya beliau boleh berundur,” katanya.


Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi melihat keengganan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berundur adalah disebabkan bimbang kehilangan pengaruh dan kuasa politik. – Gambar Bernama, 28 Januari, 2024


Pandangan itu turut disokong Penganalisis sosiopolitik dari Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi yang melihat keengganan Muhyiddin untuk berundur adalah disebabkan bimbang kehilangan pengaruh dan kuasa politik.

“Saya melihat Bersatu ini dalam jangka masa panjang akan goyah sebab ramai Ahli Parlimen mereka sudah menunjukkan sokongan terhadap kepimpinan Malaysia Madani di bawah Anwar Ibrahim.

“Selain itu, terdapat perpecahan dalaman dalam parti kononnya ada puak Hamzah dan puak Azmin.

“Jadi pada pandangan saya, Muhyiddin enggan berundur sebagai presiden kerana tidak mahu kehilangan kuasa serta pengaruh politik yang diberikan terhadapnya,” katanya. – 28 Januari, 2024

No comments:

Post a Comment