
Pak Lah meninggal dunia pada usia 85 tahun: Yang baik selalunya pergi dahulu
15 Apr 2025 • 8:00 AM MYT

TheRealNehruism
Writer. Seeker. Teacher

Kredit Imej: Pocket News
Pada tahun 1987, satu pertikaian politik yang besar telah tercetus di antara Mahathir, yang ketika itu merupakan Perdana Menteri, dan satu lagi puak dalam Umno yang diketuai oleh bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Musa Hitam.
Pertikaian ini menyebabkan Umno berpecah kepada dua kumpulan, dan ini kemudiannya membawa kepada pembubaran Umno yang asal — parti yang membawa negara ke arah kemerdekaan. (Umno sekarang, atau Umno Baru, hanya ditubuhkan semula pada tahun 1988.)
Pak Lah memilih untuk menyokong Team Tengku Razaleigh dan Musa Hitam, yang akhirnya tewas dalam pertikaian tersebut, dan sebagai akibatnya, beliau telah dipecat daripada jawatan Menteri Pertahanan dalam Kabinet.
Namun begitu, Pak Lah bukan sahaja diterima kembali ke dalam Umno Baru tidak lama kemudian, pada tahun 2003, beliau telah berjaya naik ke puncak kepimpinan Umno dan juga menjadi Perdana Menteri kelima negara.
Kemampuan Pak Lah untuk bukan sahaja kembali ke pihak yang menang, walaupun pada asalnya menyokong pihak yang kalah, tetapi juga mampu memimpin negara 15 tahun kemudian, menunjukkan bahawa beliau sememangnya merupakan seorang yang dikenali sebagai yang gentleman dan berprinsip. Pertikaian beliau dengan pihak lawan mungkin lebih disebabkan oleh perbezaan prinsip dan pendiriian, dan bukannya disebabkan oleh pertarungan ego dan kepentingan politik semata-mata. Oleh sebab itu lah, kedua-dua pihak yang bertelagah tidak begitu mengambil hati dengan pendirian dan prinsip beliau.
Apabila krisis antara Mahathir dan Anwar berlaku pada tahun 1998, yang sekali lagi memecahkan Umno dan negara kepada dua, hanya seorang tokoh yang dikenali umum sebagai seorang yang bersifat gentleman, adil dan berprinsip sahaja boleh diharapkan untuk menyatukan kembali negara.
Di saat kita memerlukan tokoh sebegitu, nama Pak Lah lah yang muncul di bibir kita.
Untuk membuktikan bahawa beliau adalah pemimpin yang tepat pada waktu itu, Pak Lah telah memimpin Barisan Nasional dalam pilihan raya 2004 untuk mencapai satu kemenangan besar, di mana BN memenangi 90 peratus kerusi Parlimen dan menguasai semua negeri kecuali Kelantan.
Kemenangan besar ini membuktikan penerimaan menyeluruh rakyat terhadap Pak Lah sebagai tokoh yang dapat menyatukan negara di kala negara dilanda perpecahan.
Di tempoh pemerintahan Pak Lah, Perdana Menteri kita sekarang, Anwar Ibrahim, juga telah dibebaskan dari penjara pada tahun 2004, walaupun keputusan membebaskannya bukan keputusan politik yang bijak. Walau bagaimanapun, pembebasan Anwar dari penjara, yang hampir sebulat suara dianggap bermotifkan politik, menunjukkan bahawa Pak Lah lebih cenderung membuat apa yang baik, adil dan benar, daripada memilih percaturan politik dan kelangsungan kareer politiknya semata-mata.
Namun demikan, dalam ertikata politik, tindakan Pak Lah membebaskan Anwar itu akhirnya memakan diri Pak Lah dalam Pilihan Raya 2008, apabila BN menerima tamparan hebat dengan kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen, manakala pembangkang yang dipimpin Anwar (walaupun secara rasmi diketuai oleh Wan Azizah, isteri Anwar, tetapi umum mengetahui bahawa Anwar adalah pemimpin de facto) mengejutkan negara dengan memenangi 82 kerusi dan menguasai 5 negeri.
Selain faktor Anwar, kekalahan BN juga mungkin disebabkan oleh harapan yang terlalu tinggi diletakkan di atas bahu Pak Lah untuk bertindak secara adil, berprinsip dan gentleman — dalam sebuah negara yang belum bersedia untuk diperintah sepenuhnya dengan adil dan berprinsip , di bawah kepimpinant seorang pemimpin yang bersifat gentleman.
Disebabkan kekalahan dalam pilihan raya 2008 , Pak Lah akan didesak untuk meletak jawatan dan menyerahkan kepimpinan negara kepada Najib pada tahun 2009.
Walaupun secara luaran, Pak Lah menamatkan pemerintahannya dalam kekalahan, tetapi apabila di lihat secara lebih mendalam, pemerintahan Pak Lah mungkin harus dihargai oleh rakyat Malaysia, kerana ia merupakan satu pemerintahan oleh seorang tokoh yang sanggup menerima kekalahan peribadi demi kebaikan negara.
Ketika Pak Lah memegang tampuk pemerintahan, arus sejarah sedang galak menolak negara ke arah sistem pemerintahan dua parti, selepas sekian lama diperintah oleh satu parti sahaja. Jika bukan kerana adanya seorang sebaik, setelus dan se-gentleman Pak Lah yang menerajui negara dalam tempoh peralihan ini, kemungkinan besar kita tidak akan berjaya melalu tempoh peralihan ini dengan aman.
Sehingga semalam (13 April), Pak Lah satu-satunya daripada enam Perdana Menteri negara yang masih hidup yang tidak pernah terpalit dengan isu perundangan.
Hari ini, Pak Lah telah pergi meninggalkan kita.
Mungkin inilah masanya yang paling sesuai untuk beliau pergi, kerana seperti kata orang, yang baik memang selalu pergi dahulu.
Semoga rohnya dicucuri rahmat.
No comments:
Post a Comment