FMT:
Kombo Nurul Izzah, Rafizi dan KJ
4 HOURS AGO
Mohsin Abdullah
Tiga tokoh politik itu pernah dikatakan mahu tubuh parti mewakili orang muda

Sekadar mengimbau apa pernah terjadi.
Pada 17 Dis 2018, Nurul Izzah Anwar mengumumkan peletakan jawatan sebagai naib presiden PKR dan mengundur diri daripada pelantikannya sebagai ketua PKR Pulau Pinang. Pelantikan dibuat satu hari sebelum itu.
Pelbagai pihak tampil dengan pendapat masing-masing mengapa Nurul Izzah bertindak melepaskan jawatan penting dalam partinya. Spekulasi dan teori yang tidak perlu diulangi.
Selepas riuh berita beliau letak jawatan tampil Khairy Jamaluddin dengan apa yang disifatkan Berita Harian sebagai ‘kata-kata semangat’ yang ditujukan kepada si puteri reformasi – seolah-olah kata akhbar itu ‘mahu memujuk Nurul Izzah supaya tidak meninggalkan dunia politik’. Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ adalah Ahli Parlimen Rembau dari Umno waktu itu.
Dalam entri dimuat naik dalam akaun Twitternya (masa itu belum dinamakan X) KJ memuji ketokohan Nurul Izzah sepanjang berkecimpung dalam dunia politik sebagai Ahli Parlimen contoh. KJ juga menyifatkan Izzah sebagai ‘lawan yang berbaloi’.
Muncul Rafizi Ramli yang waktu itu bekas naib presiden PKR. Menurut Berita Harian beliau menyifatkan Nurul Izzah sebagai reformis dan pejuang yang hanya melepaskan jawatan parti tetapi kekal dengan idealisme serta perjuangan dalam arena politik yang ‘celaru ketika ini’.
Sehari selepas letak jawatan, Nurul Izzah, Rafizi dan KJ dilihat ‘lepak’ di sebuah restoran di ibu negara.
Pertemuan itu mendapat perhatian ramai terutama golongan muda. Beberapa hari kemudian KJ berkongsi gambar menerusi Instastory miliknya yang menunjukkan beliau , Nurul Izzah dan Rafizi bertemu untuk ‘lepak-lepak’ buat kali keduanya.
Menurut Rafizi meski pun mereka daripada parti politik berlainan “kami berkongsi aspirasi yang sama iaitu untuk melihat Malaysia yang mampu menjana kekuatan dari perbezaan yang kita ada memahami penuh serta menghormati perbezaan tersebut.”
Kata-kata itu dan pertemuan dua kali berturut turut serta sokongan Rafizi dan KJ susulan peletakan jawatan Nurul Izzah ‘fired up the imagination of many’. Ramai terutama orang muda melihatnya sesuatu yang memberangsangkan.
Pada 19 Diss 2018 Berita Harian menyiarkan laporan eksklusif bertajuk: “Khairy, Nurul Izzah, Rafizi bentuk parti orang muda?”. Menurut laporan itu ketiga-tiga ahli politik itu dipercayai sedang menggerakkan satu wadah politik baharu berteras orang muda.
Bekas pengarah pilihan raya Amanah Selangor Jaafar Samsuddin yang tidak menolak kemungkinan itu dilapor berkata kerjasama mereka boleh jadi hanya satu gerakan atau bernaung di bawah sebuah parti politik baharu berteras pengundi dan sokongan orang muda.
Pada 30 Jun 2021, Astro Awani memetik Sinar Harian melaporkan Khairy Jamaluddin, Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli “merupakan calon perdana menteri kesembilan pilihan majoriti responden bandar.”
Ini dapatan kaji selidik dalam talian bertajuk “Siapa PM selepas TS Muhyiddin?” yang dibuat Profesor Adjung dan Pengarah Inovasi Sosial dan Perubahan Taylor’s University Anas Zubedy.
Anas dipetik berkata ketiga-tiga calon tersebut mendapat undian tertinggi dan ia sekali gus menunjukkan responden bandar percaya dengan tugas dan tanggungjawab yang dipikul.
Itu semua sudah menjadi lipatan sejarah. PM9 kita tahu tidak datang daripada kelompok trio pilihan orang bandar yang menjadi responden kaji selidik Anas.
Nurul Izzah dilantik dan menerima pelantikan jawatan naib presiden PKR pada 2022. Rafizi menjadi timbalan presiden PKR setelah menang pemilihan parti tahun 2022 mengalahkan Saifuddin Nasution Ismail .KJ pula sudah berada di 1 luar Umno.
Parti orang muda pun tidak ditubuh KJ, Nurul Izzah dan Rafizi.Orang muda yang mahu lihat parti itu wujud pun sekarang tidak semuda dahulu .Tetapi belum tua. Adakah mereka masih memendam harapan dulu?
Harapan golongan yang mahu lihat Nurul Izzah berganding dengan Rafizi menyala buat seketika kerana kedua-dua duduk dalam parti yang sama – PKR. Namun kedua-duanya akan bertempur untuk jawatan timbalan presiden PKR bulan ini.
Kedua-duanya mempunyai kewibawaan dan kebolehan tersendiri selain sumbangan serta pengorbanan kepada parti.
Tetapi hakikatnya seorang daripada mereka akan terkeluar daripada ‘percaturan’. Golongan yang mahu melihat Nurul Izzah dan Rafizi berganding dalam satu barisan pimpinan PKR jelas tidak akan dapat menikmati hasrat mereka tercapai.
Berdasarkan prinsip yang menang tidak menang semua kalah tidak kalah semua mungkin yang kalah akan diberi ‘jawatan’ atau peranan tertentu oleh parti. Sedikit sebanyak akan wujud juga gandingan Izzah – Rafizi. Namun pelantikan tidak sama dengan pilihan.
Kata Shahril Hamdan yang mengendalikan program audio siar Keluar Sekejap bersama KJ: “I wish the two of them can co exist sebab sangat rugi kalau kedua dua atau salah seorangnya tidak ada dalam the scene for both PKR and the country because it is clear to me PKR is potentially the new BN – dia akan jadi parti tunjang kepada negara ini dan kalau bakat-bakat tertentu ini tak ada atau hilang dari radar it is such a big waste to the country as well”.
Lantas Shahril berharap “PMX is clever enough to make sure tak ada zero sum game.”
Nurul Izzah sekarang berusia 45 tahun, Rafizi 48 tahun manakala KJ setahun lebih tua yakni 49 tahun. Semua masih muda dan mampu memberi sumbangan besar kepada negara.
Dan Shahril sendiri berusia 40 tahun dan tidak kurang hebat . “I am out of politics” kata beliau. Kata saya rugi besar juga jika dibiarkan begitu. Mungkin beliau juga seperti KJ yang hanya keluar sekejap .
Beralih pula kepada satu hantran Facebook oleh Yusri Ibrahim ketua penyelidik Ilham Centre berbunyi: “Dalam kajian kajian tentang pengundi muda ada tiga nama yang disebut (diminati) secara konsisten oleh anak muda – KJ, Syed Saddiq ,Nurul Izzah.”
Kalau Ilham Centre buat kaji selidik sekarang berlatar belakang perkembangan masa kini mungkinkah akan timbul dua lagi nama mengiringi tiga nama yang disebut tadi ? Rafizi dan Shahril.
No comments:
Post a Comment