Pages

Sunday, December 24, 2023

Siasatan SPRM menjurus kepada pembelian aset, perniagaan milik Daim Zainuddin






Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan siasatan yang dilakukan terhadap Tun Daim Zainuddin (gambar) - Gambar Bernama, 24 Disember, 2023


Siasatan SPRM menjurus kepada pembelian aset, perniagaan milik Daim Zainuddin


Selain bangunan Menara Ilham, hartanah seperti hotel dan institusi perbankan dipercayai di luar negara yang mempunyai kaitan dengan Tun Daim Zainuddin juga disiasat

24 Disember, 2023


KUALA LUMPUR — Siasatan terhadap Tun Daim Zainuddin oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjurus kepada perolehan pembelian-pembelian aset dan perniagaan milik tokoh konglomerat terkenal itu.

Sumber mendedahkan kepada media, siasatan itu menumpukan bagaimana pemilikan aset yang dikaitkan dengan bekas Menteri Kewangan itu dibuat dan sumbernya.

Kata sumber itu seperti dipetik daripada Mingguan Malaysia, selain bangunan Menara Ilham, hartanah seperti hotel dan institusi perbankan dipercayai di luar negara yang mempunyai kaitan dengan Daim juga disiasat.

Katanya, setakat ini, hartanah, bank atau perniagaan ada yang telah dikenal pasti oleh SPRM dan ada sedang disahkan terutama berada di luar negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan siasatan yang dilakukan terhadap Daim.

Beliau turut memberi jaminan tindakan sitaan bangunan Menara Ilham yang dikeluarkan menerusi notis tidak akan menjejaskan operasi dan urusan di bangunan tersebut.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tanggungjawab SPRM adalah menjalankan siasatan supaya pemimpin tidak dilihat sebagai melindungi perasuah besar.

Anwar berkata, SPRM menjalankan tugas tanpa mengira kedudukan sama ada ia adalah Tun atau Tan Sri bagi mengelakkan ada kritikan hanya bawahan ditangkap.

Isnin lalu, bangunan Menara Ilham di Jalan Binjau di sini disita SPRM.

Azam mengesahkan penyitaan itu namun enggan mengulas lanjut berikutan kes masih dalam siasatan.

Notis penyitaan harta tak alih bertarikh 18 Disember 2023 itu disiarkan dalam ruangan notis pemberitahuan sebuah portal berita dalam talian.

Menurut notis itu, Pendaftar Hak Milik, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan diarah untuk menyita harta tak alih bagi bangunan Menara Ilham di atas geran 75830, bernombor Lot 20002, yang mempunyai alamat di No. 8, Jalan Binjai, Kuala Lumpur.

Arahan itu dikeluarkan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib di bawah Seksyen 38(1) Akta SPRM 2009 [Akta 694] dan Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593] setelah berpuas hati berdasarkan maklumat yang diberikan oleh pegawai SPRM.

Notis terbabit turut melarang segala urusan tentang harta tak alih, selain dengan serta-merta mencatatkan terma notis tersebut pada dokumen hak milik yang berkenaan dengan harta tak alih itu di dalam Daftar pejabat Pendaftar Hak Milik.

Pada Mei lepas, SPRM dilaporkan sedang menyiasat seorang tokoh korporat berhubung kes penyelewengan dana negara bernilai lebih RM2.3 bilion.

Siasatan itu adalah kesinambungan dan lanjutan daripada pendedahan dokumen sulit oleh Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) berhubung transaksi yang disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.

Siasatan itu dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. — 24 Disember, 2023


1 comment:

  1. It is Extremely difficult to prosecute a commercial crime from 1997, especially if little or nothing had been done previously to investigate the case.
    Commercial firms are legally required to retain all financial and commercial records for 7 years.. and no more than that, unless already instructed to retain by law enforcement.

    Most have strict policies to destroy records older than that..if only for the reason most companies "have something to hide" wakakaka ..

    Many of Daim's deals from the 1990s were most likely unethical, but whether illegality can be proven is a long stretch of the bow.

    ReplyDelete